Decrease font size Default font size Increase font size

Sample Data-Articles

Buku Program Seminar Kebangsaan Keluarga Sejahtera 2019

Print

Program Diriku Permata Berharga (DERMAGA) 2019

Print

Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, sebanyak 4,992 anak tidak sah taraf dilahirkan pada tahun 2017 oleh remaja perempuan berumur 18 tahun ke bawah dan sebanyak 120 kes buang bayi dilaporkan pada tahun tersebut. Manakala seramai 1,664 anak tidak sah taraf dilahirkan oleh ibu bawah umur dari Januari hingga Jun 2018.

Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, “Kurangnya iman, jatidiri dan ilmu seseorang individu akan mendorong kepada ketagihan pornografi berpunca daripada salah laku dalam menggunakan kemajuan teknologi media dan komunikasi”. Institut Kesihatan Umum melaporkan dalam satu kajiselidik yang telah dijalankan pada tahun 2016, sebanyak 12,492 remaja hamil telah direkodkan. Dalam laporan lain, statistik kes pembuangan bayi yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Johor mencatatkan kenaikan dari tahun 2015 hingga 2017 walaupun ada penurunan sedikit pada tahun 2016 di mana sebanyak 9 kes (2015), 17 kes (2016) dan 14 kes (2017).

Sehubungan itu, untuk memastikan kesejahteraan keluarga dan masyarakat terjamin, YPKDT telah mengambil langkah mengadakan jalinan kerjasama dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Johor bagi melaksanakan program ini sebagai langkah pencegahan dan kesedaran terhadap golongan sasar.

OBJEKTIF

Mendidik kumpulan sasar mengenai ilmu pengetahuan tentang pendidikan kesihatan reproduktif.

Melahirkan kelompok prihatin yang berpengetahuan tentang pendidikan kesihatan reproduktif.

Menyebar luas pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan kesihatan reproduktif sosial dan remaja kepada mereka yang terlibat dalam membangunkan remaja dan ibubapa dalam komuniti agar dapat memberi kesedaran dalam menangani isu sosial khususnya melibatkan seksualiti  dalam kalangan remaja.

Mewujudkan kumpulan-kumpulan di dalam masyarakat yang bertindak sebagai “support group” atau kumpulan sokongan dalam memastikan isu-isu berkait tentang kesihatan reproduktif di dalam komuniti dapat dikenalpasti, dicerakin dan diambil tindakan dengan lebih proaktif.

SASARAN DAN IMPAK

Program ini disasarkan kepada sekurang-kurangnya 1000 pelajar sekolah menengah di seluruh Negeri Johor.

Program ini diharapkan dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada para peserta tentang pendidikan kesihatan reproduktif, bahaya zina dan kesan gejala seksual bebas agar dapat membantu menangani gejala sosial di kalangan remaja dan kes-kes berkaitan seksual di kalangan remaja berumur 18 tahun ke bawah menurun.

Program ini juga diharapkan dapat membentuk kumpulan sokong bantu cakna masalah sosial yang akan bersama melaksanakan agenda ini dengan lebih meluas di dalam masyarakat. Kumpulan sokong bantu ini juga yang akan membantu memberdaya kelompok remaja berisiko tinggi dengan suasana dan ruang lingkup positif di mana perubahan dalam kalangan masyarakat akan lebih berkesan dengan kerjasama dan tindakan masyarakat setempat.


 

 

Program JEJAK Golongan Sasar YPKDT

Print

Kerajaan merupakan tunjang / tulang belakang kepada sesebuah agensi untuk terus maju dan sebagai medium dalam penyampaian pelbagai maklumat dan perkhidmatan kepada rakyat.Atas dasar tersebut Program Jejak diperkenalkan dengan tujuan utama untuk memudahkan pemimpin dan masyarakat bersua muka dalam memberikan pendapat, pandangan, cadangan, penambahbaikan serta berkongsi maklumat dan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cepat.

Program ini membolehkan kerajaan dapat menyalurkan segala maklumat dan perkhidmatan secara terus kepada rakyat khususnya kepada golongan saar seperti Orang Kurang Upaya, Ibu Tunggal dan wanita berpendapatan rendah. Program ini juga akan menekankan penyelesian terhadap permasalahan rakyat dan mendekatkan diri kepada rakyat”. (Petikan Ucapan Belanjawan Johor Tahun 2019 oleh YAB Menteri Besar Johor ).

Mengumpulkan jabatan di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan agar bersama-sama berganding bahu dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.Program ini dicadangkan adalah berdasarkan konsep “pemimpin bersama rakyat” dan “penyampaian khidmat terus kepada rakyat”. Program ini akan melibatkan keseluruhan agensi / jabatan yang berada di bawah Portfolio YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

OBJEKTIF

  • Memberi ruang kepada masyarakat untuk lebih mendekati dan mengenali agensi / jabatan di bawah Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
  • Menyampaikan perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat.
  • Membantu mengurangkan / menyelesaikan permasalah rakyat.
  • Mendekatkan pemimpin bersama rakyat / masyarakat.
  • Memberikan pendedahan dari segi pengukuhan siasah individu, keluarga dan masyarakat serta mengubah dan menangani masalah gejala sosial.


SASARAN DAN IMPAK

Program ini disasarkan kepada pelbagai kelompok umur dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan terutama agensi / jabatan di bawah Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat., swasta atau Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO,) masyarakat dan pemimpin setempat.

Program ini diharapkan dapat merapatkan hubungan yang mesra antara pemimpin, agensi kerajaan mahupun swasta, keluarga dan masyarakat setempat.

Kursus Bahasa Isyarat Malaysia

Print

Kerajaan Negeri Johor sangat komited dalam merealisasikan Pekeliling Perkhidmatan  Bil 3 tahun 2008 iaitu  pelaksanaan dasar 1% peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Ini diperkukuhkan melalui  Pembentangan  Bajet 2011 oleh Y.A.B Menteri Besar Johor  di bawah inisiatif  Membangunkan Sosioekonomi Secara Inklusif, golongan OKU diharap turut sama diberi peluang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Sehingga Disember 2011, Sejumlah 4,490  OKU berdaftar di Negeri Johor. Sebanyak 354 OKU berdaftar tergolong dalam masalah pendengaran.  Kekangan komunikasi akan menyukarkan golongan ini  untuk bersaing bagi merebut tempat di sektor awam mahupun swasta terutamanya yang melibatkan sesi temuduga.

Selain daripada itu, kursus ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan  bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan mesra OKU apabila berurusan dengan komuniti pekak di Negeri Johor khususnya.

Objektif kursus :-

  1. Memberi perkhidmatan yang lebih mesra OKU dikalangan pegawai-pegawai kerajaan apabila berurusan terutamanya kepada mereka yang terlibat di bahagian khidmat pelanggan, unit latihan dan sumber manusia.
  2. Memberi kesedaran kepada pihak majikan (swasta) agar dapat memahami dan mengaplikasi penggunaan bahasa isyarat untuk memenuhi keperluan komunikasi dengan lebih baik dan berkesan dengan pekerja OKU pekak bisu.
  3. Memantapkan pemahaman dan skil peserta kursus yang pernah mengikuti Kursus Bahasa Isyarat Malaysia (Asas) untuk berkomunikasi dengan golongan pekak-bisu.
  4. Memberi pendedahan, minat dan keyakinan kepada peserta untuk mendalami Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Kursus Bahasa Isyarat Malaysia diadakan adalah untuk  memantapkan barisan hadapan jabatan- jabatan kerajaan bagi memperlihatkan keberkesanan pemberian bantuan kepada golongan OKU. Oleh yang demikian, Kursus ini secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada penjawat awam serta merupakan salah satu faktor penyumbang kepada perkhidmatan mesra OKU di jabatan- jabatan kerajaan. 

Sehubungan dengan itu, kursus Bahasa Isyarat Malaysia dilaksanakan pada setiap tahun bermula pada tahun 2011 dan menjadikan kursus ini sebagai  program tetap dalam melatih kemahiran (Soft Skill) penjawat awam terutamanya yang bertugas di kaunter khidmat pelanggan. Pada tahun 2015, seramai 28 orang peserta kursus telah menjalani kursus secara Intensif bermula 12 April sehingga 13 Oktober 2015 dan berjaya membantu pelanggan khususnya golongan OKU pekak di jabatan masing-masing.

Secara keseluruhan, seramai 376 kakitangan awam yang berkhidmat di bahagian khidmat pelanggan telah menghadiri kursus Bahasa Isyarat Malaysia bermula tahun 2011 sehingga 2018 yang terdiri daripada pelbagai jabatan iaitu sektor kerajaan persekutuan, kerajaan Negeri serta pihak agensi kerajaan.  Peserta- peserta ini dapat menggunakan kemahiran yang ada bagi memberi pekhidmatan yang mesra OKU iaitu boleh berkomunikasi dengan pelanggan OKU seterusnya dapat memahami dan menyelesaikan masalah OKU pekak berkenaan.

Sambutan Hari Srikandi Harapan 2019

Print

Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) merupakan sebuah agensi kerajaan di bawah kerajaan Negeri Johor yang memainkan peranan penting dalam membawa wanita dalam arus pembangunan dengan merancang dan melaksanakan program-program pembangunan wanita berdasarkan Pelan Tindakan Wanita Negeri Johor meliputi aspek keusahawanan, agama, pendidikan, undang-undang dan kesihatan.

 

Selain itu juga, YPKDT sentiasa komited membantu golongan ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah, menjana pendapatan mereka seterusnya melahirkan usahawan yang berjaya melalui pelaksanaan kursus-kursus kemahiran dan bantuan peralatan perniagaan.

 

Usaha pengiktirafan kaum wanita di Negeri Johor tetap menjadi agenda penting oleh kerajaan Negeri. Usaha ini dapat diterjemahkan dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti wanita seperti Karnival Wanita Anggun Bestari (2003 hingga 2005), Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Johor, Seminar Keselamatan Wanita dan Kanak-Kanak, Program Stop It, Survive (S.I.S) dan sebagainya.

 

Justeru pada tahun 2019, Sambutan Hari Srikandi Harapan 2019 ini diteruskan dalam memberi peluang dan menjadi platform kepada usahawan-usahawan wanita Negeri Johor membina jaringan perniagaan dan mengetengahkan hasil produk mereka melalui jualan di booth jualan sepanjang karnival berlangsung.  Secara tidak langsung, karnival ini dapat melahirkan lebih ramai lagi golongan wanita yang mampu berdikari dalam meningkatkan ekonomi keluarga dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Johor. Hasrat ini juga jelas dan bertepatan dengan objektif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) iaitu mengukuhkan institusi keluarga, membawa wanita dalam arus pembangunan dan menangani masalah sosial.

 

OBJEKTIF PROGRAM

 

  • Meraikan dan mengiktiraf sumbangan dan kejayaan wanita Negeri Johor dalam pelbagai bidang kehidupan seperti pembangunan modal insan, keusahawanan, pendidikan, politik, teknologi dan lain-lain lagi.
  • Mempromosi fungsi YPKDT kepada masyarakat umum selain membina kerjasama strategik pelbagai agensi Kerajaan, Swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Usahawan Wanita dan lain-lain pertubuhan dalam memperkasa peranan wanita Negeri Johor.
  • Memperkenal dan mempromosi hasil produk usahawan wanita dan ibu tunggal yang telah menerima manfaat dari Kerajaan Negeri Johor.
  • Memperluas jaringan perniagaan dan keusahawanan dikalangan usahawan wanita Negeri Johor.                 
  •  Membawa wanita Negeri Johor dalam arus pembangunan Negara selaras dengan objektif penubuhan YPKDT.

 

Copyright © 2019 YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA DARUL TA'ZIM. All Rights Reserved.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox atau Google Chrome dengan resolusi skrin 1024x768.