Decrease font size Default font size Increase font size

Artikel

Print

 

1) PEMANTAPAN JATIDIRI KEARAH PEMBENTUKAN MASYARAKAT

WASATIYYAH YANG LEBIH CEMERLANG DAN NEGARA GEMILANG

Oleh: Ustaz Abd. Rais Bin Haji Abu Bakar

 

        Kepentingan pemantapan jatidiri di kalangan masyarakat amnya dan warga bekerjaya khasnya memang tidak dapat dinafikan lagi. Menurut perspektif barat, pemantapan jatidiri didefinasikan sebagai suatu cara untuk mengenal kepakaran dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam membentuk sebuah masyarakat yang cemerlang, dan mereka turut sama membantu memberi sumbangan besar kepada proses pembangunan negara yang lebih gemilang. 

        Menurut perspektif mereka, mereka begitu memberi fokus kepada pemantapan jatidiri dari sudut ilmu pengetahuan, sesuatu kepakaran dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan besar kepada ekonomi sesebuah organisasi ataupun masyarakat. 

        Namun dalam menekankan aspek pengetahuan dan kemahiran tertentu, pemantapan jatidiri dari perspektif Islam tidak juga diabaikan. Dalam perspektif Islam, proses pemantapan jatidiri dilihat tidak sekadar mementingkan aspek pembangunan intelektual dan emosional semata-mata, bahkan melibatkan pembangunan spiritual. Islam melihat proses pemantapan jatidiri kearah pembentukan sesebuah masyarakat wasatiyyah yang lebih  cemerlang dan dinamik adalah sebagai suatu konsep yang amat komprehensif, mempunyai pandangan yang luas dan lebih terperinci tanpa terdapat lompang-lompang kekosongan yang tidak dihuraikan. 

        Seorang warga Muslim yang telah memutuskan tali pergantungan kepada Allah SWT Yang Maha Esa nescaya akan rosak binasalah kehidupannya. Tidak ubah seperti kronologinya layang-layang yang telah memutuskan talinya daripada pihak yang memegang tali tersebut. 

        Mari kita renungi sejenak sebuah sirah dan peristiwa hebat menerusi firman Allah SWT di dalam Surah Yusuf, ayat 87, yang bermaksud: 

        “Sesungguhnya tidak akan berputus asa (Tiada Jatidiri) dari rahmat Allah

        SWT melainkan orang–orang yang kafir“. 

        Begitu tegas sekali Allah SWT melarang hamba-hambanya daripada menjadi manusia yang lemah dan suka berputus asa (Tiada Jatidiri). Warga Mu’min yang tiada jatidiri adalah orang yang telah memutuskan tali rahmatNya sehinggakan seseorang yang tiada jatidiri itu dilambangkan sebagai orang-orang yang tidak lagi berharap dan beriman kepadaNya. 

      Adakah wajar orang lain dipersalahkan daripada kegagalan sendiri? Adakah wajar kita hidup tanpa jatidiri? 

      Malahan ada pula di kalangan kita yang telah hidup tanpa jatidiri yang kuat hanya disebabkan oleh kegagalan yang baru sekali dialaminya. Sebagai contoh, baru sekali gagal dalam perniagaan ataupun mengusahakan sesuatu perdagangan hub halal umpamanya, terus mengambil keputusan melulu untuk meninggalkan bidang tersebut tanpa berfikir panjang. Tidak mahu mencuba lagi kerana takut gagal sekali lagi. Lebih teruk lagi jika menambah rasa kebencian terhadap bidang yang mulia itu. Ada pula yang terus melabelkan dirinya sebagai tidak berbakti, tidak berjasa, tidak berguna, lembap atau persepsi negatif telah berusia untuk berusaha lagi dan lagi. 

      Bukankah ini bertentangan sekali dengan tuntutan Islam yang telah mewajibkan kita memajukan diri tanpa henti serta memantapkan jatidiri sehingga ke liang lahad. Di manakah letaknya ketaqwaan dan keimanan kita? 

      Ada juga yang lemah semangat dan berputus harapan tanpa jatidiri setelah putus cinta, ditinggalkan kekasih atau kematian orang yang dikasihi. Bukankah soal jodoh, ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Allah SWT lebih mengetahui untuk memutuskan jodoh seseorang atau mengembalikan seorang hamba kepadaNya. Semua itu berlaku semata-mata melambangkan kasih cinta Allah SWT dan RasulNya kepada seluruh hamba-hambaNya. Ada yang ditemukan jodohnya sehingga akhir hayatnya. Jangan berputus asa di atas segala rahmat Allah SWT. Hanya orang yang tidak beriman sahaja akan menjadi lemah tanpa jatidiri yang kuat dan berputus asa terhadapNya. 

      Ingat, perjalanan hidup di dunia ini sangatlah licin sekali. Adakalanya kita akan tersilap langkah dan tergelincir. Perjalanan hidup ini juga bersimpang–siur. Pilihan kita sekarang hanyalah satu di antara dua, iaitu hidup lebih berjaya dan bahagia. Setiap perkara ada harganya. Bayarlah dengan sebuah jatidiri yang tinggi nilainya dan keberanian seorang wira perkasa. Jangan sekali-kali undur walau selangkah sehingga anda sukses di penghujungnya. Semoga mahkota kemenangan menanti disana dan menjadi milik kita bersama jua. Pemantapan jatidiri yang lebih utuh akan terus mekar mewangi serta dapat membantu dalam membentuk sesebuah masyarakat wasatiyyah yang cemerlang dan negara gemilang mengikut acuannya tersendiri secara berterusan.           


2) HAMBA YANG BERMURAH HATI, ALLAH SWT TAMBAHKAN REZEKI

Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA(Seorang Khulafa’ Ar-Rasyidin Dan Merupakan Khalifah Yang Pertama) pernah berkata, maksudnya: Orang-orang yang terlalu bakhil atau kedekut mereka tidak akan terlepas dari salah satu dari tujuh kemungkinan ini, iaitu : 

  1. Allah SWT memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim, lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan dirinya.
  1. Allah SWT akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran, kecurian, banjir besar dan tenggelam dalam tanah.
  1. Selepas meninggal dunia, hartanya akan diwarisi mereka yang mempergunakan di jalan maksiat dan kemungkaran.
  1. Allah SWT akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga ia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakit itu.
  1. Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat, lalu ia sendiri terlupa sehingga tidak boleh menemuinya.
  1. Terlintas dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak, akibatnya harta kepunyaannya musnah.
  1. Allah SWT meninggikan syahwat bakhilnya sehingga ia sendiri yang akan memusnahkan.

Sifat kedekut menggambarkan sikap seseorang yang berat hati untuk membelanjakan harta milikinya samada untuk berinfaq, bersedekah, berzakat atau membantu orang Islam lain dan mereka yang memerlukan.

Sikap tersebut amat bertentangan dengan tuntutan Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa”. (Surah Al-Maidah: Ayat 2).


Tabiat kedekut juga berpunca daripada sikap terlalu sayangkan harta benda. Ia boleh menyebabkan manusia itu lalai daripada mengingati Allah SWT dalam mengerjakan sesuatu ibadat, sebaliknya memalingkan muka hatinya kepada dunia semata-mata.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah SWT. Dan sesiapa yang berbuat demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi". (Surah Al-Munafiqun: Ayat 9). Oleh itu, renung-renungkan dan muhasabahlah diri kita.

Artikel Ini Disediakan Oleh: USTAZ ABD. RAIS HAJI ABU BAKAR 

3) DALAM KEHIDUPAN, BANYAK PERKARA MEMERLUKAN SEBUAH PENGORBANAN

Seorang suami dan ketua keluarga atau rumahtangga yang soleh berkorban apa sahaja dengan bekerja bersungguh-sungguh untuk menampung segala keperluan hidup dan nafkah keluarganya.

Seorang isteri dan ibu yang solehah mengorbankan sebahagian masa rehatnya (sebagai contoh) untuk menguruskan rumah dan mendidik anak-anak agar menjadi anak yang berguna kepada agama, bangsa dan negara kelak.

Seorang guru dan pendidik, mengorbankan sedikit masa dan memerahkan kepala untuk menyampaikan ilmu dengan sistematik setiap kali di dalam kelas atau di dewan kuliah.

Seorang pelajar dan penuntut, mengorbankan sebahagian masa lapang atau cutinya untuk belajar dan menuntut ilmu agar mendapat keputusan yang lebih cemerlang dan terbaik.

Seorang kawan dan sahabat, kadang-kadang mengorbankan ‘rasa hati yang terkilan’ di hati terhadap perbuatan kawannya, dengan memaafkan sikapnya dan terlalu banyak bersabar.

Manakala seorang usahawan dan ahli perniagaan pula, mengorbankan sebahagian masanya untuk memberikan support yang terbaik kepada para pelanggannya dan menjaga hati mereka. Serta menjaga kualiti dan mutu produk yang dihasilkannya.

Beberapa Langkah Terbaik Dalam Usaha Menyemai Jiwa Untuk Berkorban:

Bagi mereka dan individu yang ingin memiliki jiwa yang besar dan sanggup berkorban dalam apa jua keadaan haruslah memiliki beberapa sifat yang unggul dan perkara penting seperti berikut:

Pertama: Menyakini ‘Aqidah Islamiyyah dengan keyakinan yang jazim (pasti) disertai dengan pengamalan bukan sekadar di bibir. Ertinya meyakini aqidah termasuk menyakini bahawa Allahlah Pemberi Rezeki. Dialah Penolong kita, Dialah yang akan Menghidupkan dan Mematikan kita. Apabila memiliki hal seperti ini sudah tentu hidup kita tidak akan diliputi sifat pengecut serta penuh kekhawatiran. Selain itu, menyakini bahawa Allah SWT itu Maha Besar dan yang lain itu cuma kecil sahaja tak bererti apa-apa pun jika dibandingkan denganNya. Maka dengan demikian, apabila hal ini menunjangi di dada kita nescaya seseorang Muslim itu tidak akan rasa gementar dalam menghadapi segala cubaan, ancaman, tentangan, hambatan dan gangguan terhadap Agamanya, iaitu Islam. Allah SWT juga ada berfirman:

"...Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah SWT jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu benar-benar orang yang beriman?". (Al-Taubah, Ayat 13).

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا۟ وَالَّذِينَ هَادُوا۟ وَالصَّابِؤُونَ وَالنَّصَارَي مَنۡ آمَنَ بِاللّهِ وَالۡيَوۡمِ الآخِرِ وعَمِلَ صَالِحًا فَلاَ خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلاَ هُمۡ يَحۡزَنُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Saabiin (sembah bintang) dan orang-orang Nasrani, sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah SWT (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad SAW) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita". (Al-Maidah, Ayat 69).

Kedua: Memahami bahawa Syariat Islam pastinya akan memberikan kebahagiaan bagi seluruh umat manusia. Namun, syarat tercapainya kebahagiaan tersebut adalah taqwa kepada Allah SWT dan mengikuti segala hukum-hukumNya. Allah SWT telah menjelaskan dalam firmanNya:

"Dan orang-orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga". (Ar-Rahman, Ayat 46).

*Iaitu satu di dunia dan yang lain di akhirat (lihat catatan kaki pada Al-Quran & Terjemahannya).

Sebaliknya sesiapa yang tidak mengikuti aturan Allah SWT mereka jauh dari kebahagiaan sejati. Firman Allah SWT lagi:

"Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan yang buta". (Thaha, Ayat 123-124). 

Maka jelaslah disini, bahawasanya taqwa kepada Allah SWT merupakan syarat kebahagiaan. Ertinya, aturan Allah SWT itu merupakan buah hati (Qurrata a’yun) bagi orang-orang yang bertaqwa, sedangkan bagi yang tidak bertaqwa tidaklah sedemikian. Oleh kerana itu, seseorang Mukmin akan bahagia dengan melaksanakan Islam, sedangkan mereka yang tidak bertaqwa tidak sedemikian rupa. Apabila hal ini dimiliki oleh seseorang Muslim itu nescaya ia rela berkorban demi aturan Allah SWT kerana disitulah letaknya kebahagiaan. Kerana semua pengorbanan yang ia lakukan — dalam melaksanakan aturan Allah SWT — adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Sedangkan makna kebahagiaan bagi seseorang Muslim yang bermabda’ (Ideologi) Islam adalah mendapatkan redha Allah SWT semata-mata.

Ketiga: Akhirat lebih baik dari dunia.

"Sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu daripada dunia". (Ad-Dhuha, Ayat 4).

Oleh kerana itu, himmah dan perhatian seorang Muslim tidak lain adalah akhirat. Bukan bererti ia melupakan dunia dan ber’uzlah ke puncak-puncak gunung. Tidak. ‘Uzlah adalah paduan antara sifat pengecut dan putus asa. Seseorang Muslim yang cinta kepada Allah SWT harus terjun ke kancah kehidupan dengan bekal iman, jiwa, istiqamah dan pemahaman yang jernih tentang konsepsi hidup lslam, membongkar segala faktor perosak kehidupan masyarakat dan membangun kehidupan dengan konsepsi yang benar, sesuai dengan akal dan fitrah manusia. Meskipun demikian, semua yang ia lakukan dalam medan kehidupan dunia itu adalah dalam rangka meraih kejayaan di akhirat kelak. Ianya dapat difahami menerusi firman Allah SWT:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah SWT kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah SWT) sebagaimana Allah SWT berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. (Al-Qashash, Ayat 77).

Keempat: Menjauhi hubbud dun ya, iaitu hati terpaut hanya kepada dunia. Kerana kecintaan dan perhatiannya yang luar biasa kepada akhirat. Ia tidak menghiraukan dunia dengan sepotong cinta pun. Kalaupun ada bahagian-bahagian dari dunia yang harus dia cintai, itu semata-mata untuk mencapai kesempurnaan cintanya kepada akhirat. Hal ini hendaknya disedari oleh individu Muslim lantaran kehidupan yang sejati hanyalah kehidupan akhirat, sedangkan kehidupan dunia hanyalah bersifat sementara dan menumpang belaka. Lebih dari itu, kecintaan terhadap dunia (hubbud dunya) dan pasangannya iaitulah takut mati (karahiyatul maut) adalah penyakit yang sangat-sangat membahayakan dalam kewujudan umat kini dan menjadi salah satu sebab dihinakan dan diperlecehkan umat ini oleh bangsa-bangsa dan umat lain.

Kelima: Terikat erat dengan ajaran Islam. Dengan terikat kepada Syari’at Islam yang merupakan rahmatan Iil ‘alamin (Al-Anbiya’, Ayat 107), pengorbanan seorang muslim mempunyai ganjaran berganda. Pertama, akan menjadi pahala baginya. Kedua, akan menimbulkan kesejahteraan hidup umat manusia, dimana dia berserta anak-anak cucunya juga akan turut merasakan pula akan perkara tersebut.

Dengan kelima-lima faktor utama pengertian yang sudah menghunjam dalam diri seseorang Muslim itu, ia akan lebih rela, senang hati, bahkan akan dapat menikmati segala pengorbanan dalam bentuk apapun yang ia berikan agar tertegaknya kalimah Allah SWT dalam segala aspek kehidupannya. Jiwa dan semangat berkorban seperti inilah yang diperlukan oleh setiap orang  Islam hari ini, agar dia segera bergabung dengan barisan-barisan penegak kebenaran melawan barisan pembawa kebatilan yang sentiasa membuat ‘kejahatan’ dan ‘kemaksiatan’ terhadap Islam itu sendiri. Allah SWT pun akan sentiasa bersama pejuang-pejuang penegak keadilan dan kalimahNya dalam menghadapi pembela kuffar, kekufuran dan kesesatan. Nyata sekali bahawa Allah SWT telah berfirman:

"Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah SWT membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah SWT sebaik-baik pembalas tipu daya". (Ali-Imran, Ayat 54).

Maka dengan itu, marilah bersama kita fikir-fikirkan sejenak akan tanggungjawab kita semua demi kebahagiaan di dunia dan di akhirat jua.


- Artikel Ini Disediakan Oleh: Ustaz Abd. Rais Haji Abu Bakar

4) HIKMAT 7 AYAT

Menurut tafsir Hanafi, barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih-buih laut.

  • Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
  • Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
  • Mengucap Astagfirullah jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.
  • Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
  • Mengucap La Haula Wala Kuwwata Illa Billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
  • Mengucap Inna lillahi Wa inna Ilaihi Rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.
  • Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya. Mudah-mudahan ingatan kita sentiasa mengingati ALLAH maha pencipta dan kekasihnya Nabi MUHAMMAD Sallallahualaihiwassalam.


5) RAHSIA MEMOTONG KUKU RASULULLAH S.A.W

RASULULLAH S.A.W BERSABDA: YANG ERTINYA:

Barang siapa yang mengerat kukunya pada ;

  • Hari Sabtu : Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit.
  • Hari Ahad : Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan.
  • Hari Isnin : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat.
  • Hari Selasa : Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit.
  • Hari Rabu : Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.
  • Hari Khamis : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.
  •  Hari Jumaat : Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.


6) IKRAR TAKLIF (REMAJA)

6.1  LAFAZ PENYERAHAN TAKLIF (UNTUK AYAHANDA & BONDA)

Anakku (...sebut...nama...anak...), kamu telah pun mencapai umur ‘aqil baligh dan ke atas kamu telah tertanggunglah segala kewajipan Syara’ yang telah diwajibkan Allah SWT kepada setiap orang Islam.

Berbahagialah kamu dengan ganjaran pahala seandainya amal makruf yang kamu kerjakan dan berdosalah kamu seandainya perkara yang mungkar yang kamu lakukan.

Oleh itu anakku.......

Janganlah kamu sekali-kali:-

v  Mensyirikkan Allah SWT.

v  Derhaka kepada kedua orang tuamu.

v  Tidak menunaikan solat fardhu.

v  Berlaku sombong terhadap insan lain.

v  Berhasad dengki dan bersifat mazmumah.

Dan berjalanlah di muka bumi ini dengan akhlak yang paling mulia dan terpuji.

Ketahuilah anakku (...sebut...nama...anak...), kamu bertanggungjawab di atas segala tingkahlakumu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui segala apa yang kamu lakukan di atas muka bumi ini dan tiada suatu perkara pun yang akan terlepas daripada  pengetahuanNya.

Ingatlah anakku, ayahanda dan bonda akan sentiasa menyayangimu dan berdoa agar Allah SWT memberimu kekuatan dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Amin...Yaa Rabbal ‘Alamin.

  • ANTARA SIFAT – SIFAT MAZMUMAH IALAH : BATU API, IRI HATI,  MEMBULI, MENZALIMI, MONOPOLI, MENGUMPAT, MENINDAS, MENGADU- DOMBA, MEMAKI-HAMUN DAN BERMACAM-MACAM LAGI YANG BOLEH MEMBAWA KEPADA KEHANCURAN SERTA KERUNTUHAN AKHLAK PERIBADI SESEORANG MUSLIM ITU. MAKA BERINGATLAH WAHAI ANAKKU/REMAJAKU/BELIAKU SAYANG!!!.

6.2  LAFAZ PENERIMAAN TAKLIF (Untuk Anakanda & Cucunda) 

Ayahanda dan bondaku tersayang, anakmu (...sebut...nama...) dengan ini bersyukur ke hadrat Ilahi dan terhutang budi serta berterima kasih di atas susuan, asuhan, didikan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh ayahanda dan bonda berdua, sehingga anakanda mencapai umur ‘aqil baligh dengan sempurna.

Oleh itu, anakanda menerima taklif ini dengan seikhlas hati dan berjanji dengan penuh keimanan dan keinsafan yang tinggi untuk:

v  Mentauhidkan Allah SWT dan tidak mensyirikanNya.

v  Mentaati dan menyayangi ayahanda dan bonda.

v  Menunaikan solat pada waktunya.

v  Tidak berlaku sombong sesama insan lain.

v  Berakhlak mulia dan terpuji sepanjang anakanda hidup di dunia ini.

Seterusnya, anakanda memohon doa restu dan nasihat dari ayahanda dan bonda agar anakanda menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Amin...Yaa Rabbal ‘Alamin.

7) TEKS AKAD NIKAH SAKINAH


7.1  LAFAZ SERAH MAS KAHWIN

7.2  LAFAZ TAKLIK PENGANTIN LELAKI

Manakala saya tinggalkan isteri saya ………… selama empat (4) bulan (hijrah berturut-turut) atau lebih, dengan sengaja atau paksa, dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa tersebut, padahal ia taatkan saya, atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, atau kehormatannya, atau harta bendanya, kemudian ia atau wakilnya mengadu kepada mahkamah, dan manakala sabit aduannya disisi Mahkamah Syariah, dan ia atau wakilnya memberi kepada mahkamah bagi pihak saya RM1.00, maka pada ketika itu tertalaklah ia dengan satu talak khuluk, atau saya ghaib daripada isteri saya yang tersebut selama setahun atau lebih, jika ia atau wakilnya mengadu kepada mahkamah dengan berkata ia tidak tertunggu lagi akan saya, dan manakala sabit aduannya, maka tertalaklah satu talak.  

Demikianlah lafaz taklik saya. Terima Kasih.

7.3 LAFAZ PENYERAHAN TANGGUNGJAWAB WALI 

Adalah saya ……… wali kepada ……….. Dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, perlindungan, keselamatan, kasih sayang dan tanggungjawab Agama Islam kepada kamu .....................……….. sebagai suami yang sah. 

Semoga diberkati oleh Allah SWT ke atas kamu dan orang yang di bawah tanggungjawab kamu serta zuriat keturunan kamu. 

Demikianlah lafaz penyerahan tersebut.

Terima Kasih.

8. SIRI DOA MUSTAHAB SODIQUL AMIN

DOA APABILA MENGUNCI DAN KELUAR DARI PEJABAT/KEDIAMAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Ya Allah! Wahai Tuhanku yang membelah laut bagi Nabi Musa ibn Imraan AS, yang menyelamatkan Nabi Yunus AS dari perut ikan paus dan menjalankan kapal bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Engkau mengetahui bilangan titisan air lautan dan butiran pasir. Wahai Tuhanku yang menjadikan jenis-jenis keajaiban makhluk! Aku memohon kepadaMu kecukupan, Wahai Tuhanku Yang Maha Mencukupkan bagi sesiapa yang memohon kecukupan kepadaNya, Wahai Tuhanku yang memperkenankan orang yang berdoa kepadaNya! Wahai Tuhanku yang membantu orang yang mengharap kepadaNya! Engkaulah Yang Maha Mencukupkan, tiada yang mencukupkan melainkan Engkau, hindarilah aku daripada apa yang aku takuti dan bimbangi, penuhilah pejabatku/kediamanku ini dengan kebaikan dan keberkatan. Cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas NabiMu dan RasulMu penghulu kami Baginda Muhammad SAW dan keluarganya serta para sahabatnya. “Amin, Yaarabbal ‘Alamin”.

 DOA APABILA MEMBUKA KUNCI DAN MASUK KE PEJABAT/KEDIAMAN


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
 

Ya Allah! Wahai Tuhanku, kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah SWT) dengan berkata: “Segala puji-pujian bagi Allah SWT yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim. Dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat”. “Amin, Yaarabbal ‘Alamin”.

*Dipetik Dari Ayat Suci Al-Quran Dan Kitab Doa-Doa Mustajab, Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi, Mauleed Publishing.

*Disusun Oleh, PP/UPML /2013/1434H. “SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA RAMADAN 1434H.” SALAM RAMADAN.


9. IBADAH KORBAN DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 1434H

  

Pelaksanaan Ibadah Korban

 "Korban bermaksud haiwan yang disembelih kerana Allah SWT dan  dikira ibadah pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah Ta'ala". (Syeikh Daud al-Fathoni, Furu' al-Masail, Jus 1: 259)

Syariat Korban

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah".

(Surah Al-Kautsar: Ayat 2)

  Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih tersebut adalah berkorban, (Melaksanakan Ibadah Korban).

 Sesungguhnya Ibnu Jarir pernah mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:

  "Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah Azawajalla sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripadaNya. Demikian juga ibadah korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah Ta'ala semata-mata, tidak untuk berhala, sebagai tamda kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah SWT kepadamu yang tidak terhingga banyaknya".

Nabi SAW juga telah bersabda yang bermaksud:

 "Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT daripada Bani Adam AS ketika Hari Raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah SWT sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya".

(Hadis Riwayat At-Turmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Hikmah Berkorban

Keistimewaan orang yang berkorban (menunaikan ibadah korban) banyak sekali, Saidina Ali Bin Abi Talib KWH telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikan martabatnya 10 darjat.

 * Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih. Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan. Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titisan darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah SWT 10 Malaikat yang mendoakan dan meminta ampunkan kesalahannya kepada Rabul Jalil sampai hari kiamat. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan

kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim".

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ibadah Aqiqah Juga Suatu Pengorbanan

Menurut bahasa ertinya: "Rambut yang tumbuh diatas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir". Demikianlah pendapat 'Ubaid, Ashmu'I dan Zamarkhsyari.

Menurut istilah hukum syarak, Aqiqah ialah: "Penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, disamping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu". Maka oleh itu, ibadah Aqiqah adalah Sunat Mu'akad.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama".

(Hadis Riwayat At-Turmizi)

Maka Ibnu Al-Qayyim menegaskan bahawa ibadah aqiqah itu melepaskan bayi dan anak tersebut daripada golongan syaitan dalam urusan dunianya dan akhirat.

* "SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1434H.", Semoga semua ibadah dan pengorbanan kita selama ini untuk Islam dan ummah kerana Allah SWT akan mendapat keredhoanNya insya Allah, amin yaarabbal 'alamin.

 “MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN ADALAH TANDA SYUKUR KITA KEPADA ALLAH SWT YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA ESA”.

Copyright © 2017 YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA DARUL TA'ZIM. All Rights Reserved.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox atau Google Chrome dengan resolusi skrin 1024x768.