Decrease font size Default font size Increase font size

Program Diriku Permata Berharga (DERMAGA) 2019

Print

Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, sebanyak 4,992 anak tidak sah taraf dilahirkan pada tahun 2017 oleh remaja perempuan berumur 18 tahun ke bawah dan sebanyak 120 kes buang bayi dilaporkan pada tahun tersebut. Manakala seramai 1,664 anak tidak sah taraf dilahirkan oleh ibu bawah umur dari Januari hingga Jun 2018.

Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, “Kurangnya iman, jatidiri dan ilmu seseorang individu akan mendorong kepada ketagihan pornografi berpunca daripada salah laku dalam menggunakan kemajuan teknologi media dan komunikasi”. Institut Kesihatan Umum melaporkan dalam satu kajiselidik yang telah dijalankan pada tahun 2016, sebanyak 12,492 remaja hamil telah direkodkan. Dalam laporan lain, statistik kes pembuangan bayi yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Johor mencatatkan kenaikan dari tahun 2015 hingga 2017 walaupun ada penurunan sedikit pada tahun 2016 di mana sebanyak 9 kes (2015), 17 kes (2016) dan 14 kes (2017).

Sehubungan itu, untuk memastikan kesejahteraan keluarga dan masyarakat terjamin, YPKDT telah mengambil langkah mengadakan jalinan kerjasama dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Johor bagi melaksanakan program ini sebagai langkah pencegahan dan kesedaran terhadap golongan sasar.

OBJEKTIF

Mendidik kumpulan sasar mengenai ilmu pengetahuan tentang pendidikan kesihatan reproduktif.

Melahirkan kelompok prihatin yang berpengetahuan tentang pendidikan kesihatan reproduktif.

Menyebar luas pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan kesihatan reproduktif sosial dan remaja kepada mereka yang terlibat dalam membangunkan remaja dan ibubapa dalam komuniti agar dapat memberi kesedaran dalam menangani isu sosial khususnya melibatkan seksualiti  dalam kalangan remaja.

Mewujudkan kumpulan-kumpulan di dalam masyarakat yang bertindak sebagai “support group” atau kumpulan sokongan dalam memastikan isu-isu berkait tentang kesihatan reproduktif di dalam komuniti dapat dikenalpasti, dicerakin dan diambil tindakan dengan lebih proaktif.

SASARAN DAN IMPAK

Program ini disasarkan kepada sekurang-kurangnya 1000 pelajar sekolah menengah di seluruh Negeri Johor.

Program ini diharapkan dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada para peserta tentang pendidikan kesihatan reproduktif, bahaya zina dan kesan gejala seksual bebas agar dapat membantu menangani gejala sosial di kalangan remaja dan kes-kes berkaitan seksual di kalangan remaja berumur 18 tahun ke bawah menurun.

Program ini juga diharapkan dapat membentuk kumpulan sokong bantu cakna masalah sosial yang akan bersama melaksanakan agenda ini dengan lebih meluas di dalam masyarakat. Kumpulan sokong bantu ini juga yang akan membantu memberdaya kelompok remaja berisiko tinggi dengan suasana dan ruang lingkup positif di mana perubahan dalam kalangan masyarakat akan lebih berkesan dengan kerjasama dan tindakan masyarakat setempat.


 

 

Copyright © 2019 YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA DARUL TA'ZIM. All Rights Reserved.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox atau Google Chrome dengan resolusi skrin 1024x768.