Decrease font size Default font size Increase font size

ANUGERAH PENYAYANG JOHOR

Print

Anugerah Penyayang Johor merupakan satu pengiktirafan, penghargaan dan lambang kepada khidmat bakti cemerlang, ikhlas dan berterusan dalam kerja-kerja kemasyarakatan yang ditunjukkan dan dicurahkan sama ada oleh tokoh individu ataupun organisasi.

Anugerah ini dikurniakan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai menunjukkan keprihatinan dalam usaha-usaha kesukarelaan dan kemasyarakatan serta menggalakkan semua pihak di Negeri Johor untuk meneruskan usaha murni tersebut.

Kerajaan Negeri Johor telah menjadikan Anugerah Penyayang sebagai anugerah Dwi Tahunan. Mula diperkenalkan pada tahun 2002 yang dirasmikan oleh Y.A.B Menteri Besar Johor dan sehingga kini Anugerah Penyayang Johor telah di adakan pada tahun 2002, 2006 (di peringkat daerah sahaja), dan 2009.

OBJEKTIF

  1. Mempromosikan konsep tanggungjawab sosial dengan memberi penekanan kepada individu yang telah menunjukkan nilai-nilai murni yang tinggi dalam kerja-kerja kebajikan seperti nilai kasih sayang, pengorbanan (pemikiran, tenaga dan harta), ikhlas, pemurah dan sebagainya.

  2. Mempromosikan konsep tanggungjawab sosial dengan memberi  penekanan kepada organisasi (swasta dan NGO) yang telah memberikan sumbangan yang berterusan dalam usaha atau kerja-kerja kebajikan  sama ada dalam bentuk  pemikiran, tenaga atau harta.

  3. Mempromosikan konsep tanggungjawab sosial dengan memberi penekanan kepada golongan pelajar yang telah menunjukkan nilai-nilai murni yang tinggi dalam kerja-kerja kebajikan samada di peringkat sekolah mahu pun dengan masyarakat luar seperti nilai kasih sayang, pengorbanan, ikhlas, pemurah dan sebagainya.

  4. Memberi kesedaran atau mempengaruhi masyarakat (individu atau organisasi) bahawa terdapat banyak usaha-usaha kebajikan dan kemasyarakatan yang perlu dilaksanakan secara berterusan dan ikhlas bagi kesejahteraan masyarakat itu sendiri.

  5. Mendidik dan memberi motivasi kepada masyarakat untuk bertindaksendiri di dalam memberi sumbangan, bantuan dan perkhidmatan kemasyarakatan. Ini sejajar dengan kempen kerajaan Malaysia di dalam misi wawasan 2020 iaitu untuk mewujudkan masyarakat penyayang seiring menuju arus perdana. 

  6. Mengiktiraf / menghargai sumbangan dan jasa yang telah diberikan oleh individu (dewasa atau muda) dan organisasi (sama ada sektor swasta atau NGO).

  7. Menggalakkan individu, organisasi, pertubuhan, syarikat bagi bersaing memberikan khidmat dan sumbangan bakti mereka dalam kerja-kerja kemasyarakatan.


KATEGORI ANUGERAH


Kategori Anugerah Penyayang Johor adalah seperti berikut :-

  1. Anugerah Tokoh Penyayang :

    • Tokoh Penyayang (Kategori Melayu)
    • Tokoh Penyayang (Kategori Cina)
    • Tokoh Penyayang (Kategori India)
    • Tokoh Penyayang (Kategori Orang Asli)

  2. Anugerah Organisasi Penyayang (Swasta)
  3. Anugerah Organisasi Penyayang (Badan-badan Sukarela / NGO)
  4. Anugerah Tunas Penyayang (Pelajar Sekolah Menengah - Lelaki)
  5. Anugerah Tunas Penyayang (Pelajar Sekolah Menengah - Perempuan)

 
KRITERIA PEMILIHAN

A. Tokoh Penyayang

  1. Individu yang peribadinya jelas menunjukkan nilai-nilai yang terpuji serta dapat diteladani oleh masyarakat.

  2. Individu yang menyumbangkan masa, tenaga, pemikiran, hartanya dan lain-lain bagi pembangunan masyarakat, organisasi, pertubuhan, persatuan dan jabatan sehingga meninggalkan kesan yang positif kepada bangsa dan negara.

  3. Individu yang selalu menjadi perangsang, pendorong dan penggalakdalam pembangunan masyarakat, organisasi, pertubuhan, persatuandan Jabatan.

  4. Individu yang telah berjaya menghasilkan sumbangan dan gerak kerja yang bermutu tinggi di bidang kemasyarakatan, organisasi, pertubuhan, persatuan, jabatan yang dapat memberi kebanggaan dan menaikkan imej bangsa dan negara.

  5. Individu yang telah menunjukkan kepimpinan yang unggul dalam organisasi, pertubuhan, persatuan, jabatan, masyarakat dan negara.

B. Organisasi Penyayang

  1. Organisasi yang bergerak aktif secara sukarela dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dapat memberi manfaat kepada sebilangan besar masyarakat. Aktiviti-aktiviti tersebut termasuklah dalam bidang kebajikan, agama, ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial, sukan dan rekreasi, alam sekitar, belia, wanita dan sebagainya.

  2. Organisasi yang bergerak secara terus-menerus dan dapat menyumbangkan serta mengharumkan nama negeri dan negara di dalam bidang yang diceburi dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.

C. Tunas Penyayang

Anugerah Tunas Penyayang  dikurniakan  kepada  pelajar sekolah menengah  Tingkatan 4 hingga 6 (lelaki dan perempuan).

Ciri-ciri penerima Anugerah ini adalah :

  1. Pelajar yang aktif dan suka memberi sumbangan secara sukarela dalam aktiviti kemasyarakatan peringkat sekolah, komuniti, daerah, negeri dan negara.

  2. Pelajar yang telah atau sedang memimpin satu-satu organisasi, pertubuhan persatuan dan kerap mengambil bahagian serta turut serta di dalam program-program sukarela peringkat sekolah, komuniti, daerah, negeri dan negara.

  3. Pelajar yang ketokohan dan kesukarelaannya mendapat pengiktirafan dan diterima oleh masyarakat umum.

 

Copyright © 2017 YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA DARUL TA'ZIM. All Rights Reserved.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox atau Google Chrome dengan resolusi skrin 1024x768.