Decrease font size Default font size Increase font size Versi Mobil | Versi Standard

PROGRAM PENEMPATAN PEKERJAAN OKU

Print

1. BENGKEL MENJANA EKONOMI ORANG KURANG UPAYA

Bengkel ini dirangka khas untuk golongan Orang Kurang Upaya, OKU fizikal. Kekangan dan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai terutamanya OKU yang mengalami kecederaan spinal yang mana mereka menggunakan kerusi roda untuk bergerak telah menghadkan penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan semasa.

Keperluan kepada fisiliti mesra OKU di tempat kerja seperti ram untuk akses, tandas dan keperluan fasiliti khas yang lain yang minimum di tempat yang menawarkan pekerjaan telah menghadkan penyertaan golongan ini dalam sektor pekerjaan.  Oleh yang demikian, golongan ini lebih cenderung untuk menjalankan kegiatan yang boleh menjana ekonomi daripada rumah kerana ini lebih mudah untuk mereka. Oleh yang demikian, bengkel yang dipilih untuk dilaksanakan ini adalah bengkel berbentuk vokasional dan kemahiran vokasional daripada bengkel ini boleh digunakan untuk menjana ekonomi daripada rumah.

Bengkel jangka pendek berbentuk latihan kemahiran vokasional dengan kerjasama pengusaha yang telah berjaya dengan produk yang mempunyai permintaan pasaran semasa. Kerjasama strategik antara pihak Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim melalui Unit Penempatan Pekerjaan Orang Kurang Upaya dan pengusaha terpilih yang mempunyai kredibiliti untuk menjalankan program ini. Kerjasama ini juga melibatkan pihak Hospital Sultanah Aminah yang mana peserta sasaran bagi program ini datangnya daripada “Spinal Injury Support Group”, HSA.

Dalam program ini, pihak pengusaha akan bertindak sebagai mentor yang bukan sahaja memberikan latihan vokasional kepada peserta bengkel, tetapi memberikan tunjuk ajar dan bahan mentah untuk menghasilkan produk yang mana produk siap ini akan dibeli balik oleh pengusaha untuk dipasarkan. Ini secara tidak langsung akan dapat membangunkan kemahiran dan ekonomi para peserta. Dalam jangkamasa panjang, peserta boleh menghasilkan produk mereka sendiri hasil daripada kemahiran yang telah diperolehi menerusi bengkel dan program ini.

Bengkel usahasama ini memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak-pihak yang terlibat. Selain itu, bengkel ini juga sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu menjana pendapatan golongan OKU sasaran ini dan secara tidak langsung menyumbang kepada kadar pertumbuhan ekonomi setempat dan negara. Di pihak pengusaha atau swasta pula, ini merupakan salah satu program CSR yang baik yang mana mereka dapat memberikan bantuan kepada masyarakat secara tidak langsung. Di pihak OKU pula, bengkel ini seterusnya akan memberikan mereka peluang untuk menceburi bidang perniagaan dalam jangkamasa panjang.

Seterusnya, program ini dimasa akan datang jika berjaya boleh menjadi model pembangunan kemahiran usahasama dua hala antara pihak kerajaan dan swasta dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya dalam jangkamasa panjang program ini akan dapat mewujudkan usahawan-usahawan daripada golongan OKU sasaran ini.

Objektif bengkel :-

  1. Memberikan latihan vokasional yang mana kemahiran ini boleh digunakan untuk menjalankan perusahaan yang menjana ekonomi golongan OKU sasaran dari rumah.
  2. Mewujudkan perusahaan atau peluang pekerjaan daripada rumah untuk golongan OKU sasaran.
  3. Meningkatkan kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta dalam usaha membangunkan ekonomi golongan OKU di Negara ini.

Jadual dan pengisian kursus :-

  1. Bengkel ini akan dijalankan oleh pihak pengusaha yang telah dipilih. Bengkel akan memberikan latihan dan teknik untuk menghasilkan produk yang telah dipilih.
  2. Untuk bengkel ini, bahan dan peralatan akan disediakan oleh pengusaha dan seterusnya bahan dan peralatan akan diberikan kepada mereka yang berminat untuk meneruskan program ini di rumah.
  3. Pihak UPPOKU, YPKDT akan menjadi badan penyelaras antara pihak pengusaha dan peserta bengkel dan program menjana ekonomi OKU ini


2. KURSUS BAHASA ISYARAT MALAYSIA SIRI II

Kerajaan Negeri Johor sangat komited dalam merealisasikan Pekeliling Perkhidmatan  Bil 3 tahun 2008 iaitu  pelaksanaan dasar 1% peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Ini diperkukuhkan melalui  Pembentangan  Bajet 2011 oleh Y.A.B Menteri Besar Johor  di bawah inisiatif  Membangunkan Sosioekonomi Secara Inklusif, golongan OKU diharap turut sama diberi peluang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Sehingga Disember 2011, Sejumlah 4,490  OKU berdaftar di Negeri Johor. Sebanyak 354 OKU berdaftar tergolong dalam masalah pendengaran.  Kekangan komunikasi akan menyukarkan golongan ini  untuk bersaing bagi merebut tempat di sektor awam mahupun swasta terutamanya yang melibatkan sesi temuduga.

Selain daripada itu, kursus ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan  bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan mesra OKU apabila berurusan dengan komuniti pekak di Negeri Johor khususnya.

Objektif kursus :-

  1. Memberi perkhidmatan yang lebih mesra OKU dikalangan pegawai-pegawai kerajaan apabila berurusan terutamanya kepada mereka yang terlibat di bahagian khidmat pelanggan, unit latihan dan sumber manusia.
  2. Memberi kesedaran kepada pihak majikan (swasta) agar dapat memahami dan mengaplikasi penggunaan bahasa isyarat untuk memenuhi keperluan komunikasi dengan lebih baik dan berkesan dengan pekerja OKU pekak bisu.
  3. Memantapkan pemahaman dan skil peserta kursus yang pernah mengikuti Kursus Bahasa Isyarat Malaysia (Asas) untuk berkomunikasi dengan golongan pekak-bisu.
  4. Memberi pendedahan, minat dan keyakinan kepada peserta untuk mendalami Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).


3. SEMINAR ADVOKASI MEMUPUK KESEDARAN PELUANG KERJAYA OKU

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih banyak syarikat-syarikat di Malaysia telah mengambil OKU sebagai salah satu sumber tenaga kerja mereka. Sumbangan OKU dalam sektor swasta telah terbukti sebagai sumber yang amat berharga. Di negara-negara maju, Sokongan Pekerjaan mempunyai sejarah lebih daripada 30 tahun dalam menyediakan perkhidmatan sokongan bagi OKU untuk menggalakkan pekerjaan yang mapan. 

Kerjasama yang aktif dengan sektor swasta sejak tahun 2008 telah mencipta sejarah di Malaysia dalam membangunkan pekerjaan mampan bagi OKU. Kerjasama dan komitmen semua pihak dapat membantu OKU untuk maju ke tahap yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, seminar ini dirangka khas untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat umum mengenai  kepentingan kerjaya OKU dalam usaha membantu meningkatkan peluang-peluang pekerjaan kepada golongan ini agar mereka turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi

Selain itu, seminar ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan sektor swasta bagi menggalakkan dan meningkatkan penyertaan para majikan dalam memberi peluang- peluang pekerjaan kepada golongan OKU.

Objektif seminar :-

  1. Memahami dan menjelaskan isu- isu berkaitan penempatan pekerjaan OKU 
  2. Memahami dan menjelaskan peranan, tugas dan tanggungjawab Job Coach atau Pegawai Penempatan Pekerjaan OKU
  3. Menjelaskan kepentingan sistem sokongan dalam penempatan pekerjaan OKU 
  4. Memberi kesedaran kepada pihak majikan untuk pengambilan pekerja OKU  


Kepentingan seminar :-

  1. Seminar ini merupakan usaha keperihatinan kerajaan Negeri Johor terhadap keperluan OKU dan golongan ini tidak pernah dipinggirkan dalam konteks pembangunan Negara.
  2. Secara umumnya, OKU menghadapi masalah mendapat pekerjaan produktif dan pendapatan bagi menyara hidup. Bilangan OKU yang berjaya mendapat pekerjaan di sektor awam dan sektor swasta kurang memberangsangkan.
  3. Susulan daripada itu, seminar ini turut memberi pendedahan kepada peserta kepentingan penubuhan Unit Penempatan Pekerjaan Orang Kurang Upaya bagi merealisasikan objektif utama program iaitu bagi memastikan peningkatan bilangan OKU di dalam sektor pekerjaan di Johor.
Copyright © 2014 YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA DARUL TA'ZIM. All Rights Reserved.
Best viewed using Internet Explorer 9.0 or Mozilla Firefox or Google Chrome with 1024x768 screen resolution.